FOMCA TERIMA 1000 ADUAN
Berita Harian 24/01/2001
Kuala Lumpur, Selasa – Persatuan Pengguna masih menerima banyak aduan
mengenai isu kelewatan sijil layak menduduki (CF) walaupun pembeli rumah
diberi jaminan CF akan dikeluarkan selepas dua minggu kunci diserahkan.
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof
Hamdan Adnan berkata, tahun lalu pihaknya menerima lebih 1000 aduan
berhubung isu berkenaan.
“Walaupun aduan yang diterima kini berkurangan, tetapi
isu itu masih belum selesai sepenuhnya.
“Kelewatan CF tidak sepatutnya berlaku selepas kerajaan
mewujudkan peraturan baru supaya pemaju dan pihak berkuasa menyegerakannya,”
katanya ketika dihubungi hari ini.
Tahun lalu, kerajaan mengeluarkan arahan kepada pihak
berkuasa tempatan supaya meluluskan permohonan CF dalam tempoh dua minggu
dari tarikh permohonan lengkap dikemukakan.
Antara punca utama kelewatan ialah masih ada pemaju
tidak mengemukakan permohonan lengkap kerana pemantauan mendapati hanya
34% pemaju berbuat demikian.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka
Ting pula tidak menolak kemungkinan berlaku penyelewengan di kalangan
kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam meluluskan CF.
Bagaimanapun, katanya, masalah itu berlaku mungkin
kerana pegawai atau kakitangan PBT terbabit tidak memahami syarat atau
prosedur yang ditetapkan dalam mesyuarat Kerajaan Pusat dan kerajaan
negeri pada 1995.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam meminta Badan
Pencegah Rasuah (BPR) camput tangan bagi mengelak berlaku penyelewangan
antara PBT dengan pamaju dalam pengeluaran CF.
Beliau hairan hingga kini masih belum dapat diselesaikan,
malah pihaknya mencatat 10 hingga 15 peratus aduan mengenai kelewatan
mendapatkan CF.
Setiausaha Agungnya Datuk Dr Maamor Osman berkata,
setakat ini pihaknya tidak pernah mendengar CF diberi dalam tempoh dua
minggu seperti yang ditetapkan. |