Tribunal perumahan akan ditubuh
08/09/2000 Utusan Malaysia Oleh Hata Wahari
Port Dickson 7 Sept - Kementerian Perumahan dan KerajaanTempatan akan menubuhkan sebuah tribunal perumahan bagi menangani projek rumah terbengkalai dan masalah lain termasuk projek yang gagal mendapat Sijil Kelayakan menduduki (CF).
Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, tribunal itu akan diperkenalkan setelah pindaan Akta Pemaju Perumahan diluluskan di Parlimen.
Menurut beliau, draf pindaan akta itu kini dalam peringkat akhir semakan sebelum di hantar ke Pejabat Peguam Negara dan pindaan akta tersebut antara lain mengandungi peruntukan khas mengenai penubuhan tribunal berkenaan.
"Kementerian percaya dengan adanya tribunal perumahan ini ia akan dapat menyelesaikan banyak masalah di antara pemaju dan pembeli rumah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan pegawai-pegawai kana perancangan bandar dan desa di sini, hari ini.
Sebelum ini, banyak rungutan daripada para pembeli rumah yang kesal keran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan terlalu memihak kepada para pemaju perumahan sehingga banyak pembeli yang teraniaya.
Malah, antara kes yang paling banyak dilaporkan adlah para pembeli terpaksa membayar pinjaman bank dan sekali gus sewa rumah kerana rumah yang mereka beli terbengkalai atau belum mendapat CF.
Sebaliknya, para pembeli dikenakan denda bersama bunganya seklai sekiranya lambat menjelaskan bayaran perumahan.
Mengulas lanjut, Ong berkata, walaupun terdapat tribunal perumahan, pembeli-pembeli rumah masih boleh membawa kes mereka ke mahkamh mengikut amalan yang dibuat sekarang.
Menurut beliau, tribunal itu mempunyai kuasa untuk menyelesaikan kes-kes yang melibatkan tuntutan kurang dari RM25,000.
Katanya, setiap masalah seperti kertakan dinding, longkang, binaan yang tidak mengikut pelan rumah atau rumah-rumah yang terbengkalai boleh dirujuk kepada tribunal tersebut.
Berkaitan dengan perancangan bandar dan desa, Ong berkata, satu buku garis panduan yang bertajuk " Garia Panduan Perancangan dan Pembangunan Sejagat akan diedarkan kepada semua pegawai perancangan bandar dan desa.
Menurut beliau, buku garis panduan itu akan menjadi rujukan kepada pegawai-pegawai terbabit bagi membolehkan setiap pelan pembangunan bandar dan desa berdasarkan kepada peraturan yang satu untuk seluruh negara. |