CF
tanggungjawab Perbadanan Putrajaya
05/11/2000 Berita Harian
SHAH ALAM, Ahad - Kelewatan
pengeluaran Sijil Layak Menduduki (CF) untuk rumah kediaman di
Putrajaya tidak sepatutnya berlaku kerana pembangunan di kawasan itu
dimajukan syarikat yang diketuai Presiden Perbadanan Putrajaya
sendiri.
Menteri Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata pembangunan di Putrajaya
dimajukan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PHSB), manakala Perbadanan
Putrajaya bertindak sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang
meluluskan pelan bangunan dan pengeluaran CF.
Perbadanan Putrajaya yang
ditubuhkan pada 1996, diterajui Tan Sri Azizan Zainul Abidin yang
bertindak sebagai Presiden. Azizan juga adalah Presiden PHSB, pemaju
keseluruhan projek pembangunan Putrajaya.
"Dalam hal ini, mereka sendiri
membina rumah dan mereka sendiri menjadi PBT. Mereka adalah satu
keluarga. Sepatutnya mereka boleh menyelesaikan perkara ini secepat
mungkin kerana tidak membabitkan orang lain," katanya mengulas isu
kelewatan pengeluaran CF di kawasan itu yang dibangkitkan Datuk Seri
Dr Mahathir Mohamad.
Semalam, Dr Mahathir mengarahkan
pelbagai pihak bertanggungjawab supaya mempercepatkan pengeluaran CF
untuk rumah kediaman di Putrajaya.
Perdana Menteri berkata, memang
menghairankan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu
hanya 28 pengundi tinggal di Putrajaya, sedangkan kawasan itu begitu
banyak rumah sejak dibuka hampir dua tahun lalu.
Perdana Menteri turut menolak
kemungkinan ia adalah satu daripada
kerenah birokrasi, tetapi menegaskan pihak bertanggungjawab perlu
bertindak pantas dalam meluluskan CF kerana ia membabitkan kemudahan
untuk kakitangan pusat pentadbiran negara.
Ong yang ditemui pemberita selepas
merasmikan Rumah Bakti Ci Hang dan Pusat Operasi Persatuan Kebajikan
Ci Hang Cempaka Selangor di Kampung Subang di sini, hari ini,
berkata Perbadanan Putrajaya bertanggungjawab mengeluarkan CF di
kawasan itu yang menjadi pusat pentadbiran baru Kerajaan
Persekutuan.
Beliau bagaimanapun berkata,
pihaknya akan mendapatkan laporan daripada Perbadanan Putrajaya
untuk mendapatkan gambaran sebenar dan mengambil tindakan sewajarnya
berhubung perkara berkenaan.
"Kita akan periksa mengapa timbul
kelewatan pengeluaran CF seperti yang diumumkan Perdana Menteri
sehingga menyulitkan pembeli menghuni di Putrajaya. Mungkin
disebabkan Perbadanan Putrajaya sendiri tidak membenarkan mereka (pembeli
rumah) masuk atau mempunyai masalah teknikal yang masih perlu
dilihat.
"Bagaimanapun, saya ingin
menegaskan bahawa ia di bawah bidang kuasa Perbadanan Putrajaya.
Oleh itu, kita akan meminta laporan daripada Perbadanan Putrajaya
berhubung kelewatan pengeluaran CF, esok," katanya.
Ong berkata, dasar yang diluluskan
Majlis Negara Kerajaan Tempatan mewajibkan semua PBT mengeluarkan CF
kepada pemaju dalam tempoh 14 hari sekiranya semua syarat teknikal
dipenuhi.
Katanya, PBT yang tidak memberikan
jawapan selepas borang E diterima daripada pemaju, boleh dianggap
sudah mengeluarkan CF berkenaan.
"Saya difahamkan semua kerajaan
negeri menerima peraturan ini dan tidak nampak mengapa PBT perlu
melewatkan pengeluaran CF. Mana-mana PBT yang tidak mengikuti dasar
ini boleh diambil tindakan," katanya.
Ong berkata, CF adalah sijil
jaminan keselamatan bagi sesuatu bangunan untuk layak diduduki
pembeli.
"Kalau salah satu syarat teknikal
itu tak dipenuhi, mungkin membahayakan penghuni dan kerajaan akan
dipersalahkan. Bagaimanapun, kita tak mahu syarat itu terlalu ketat
atau longgar sehingga menimbulkan masalah kepada pembeli. Oleh itu,
perlu ada penyelesaian yang praktikal," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan
Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Eddy Chen Lok
Loi, berkata masalah kelewatan pengeluaran CF di Putrajaya turut
dihadapi pemaju di kawasan lain.
Beliau yang dihubungi di sini,
berkata kelewatan itu berlaku kerana membabitkan banyak pihak
termasuk Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bekalan Air, Jabatan
Perkhidmatan Pembetungan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Telekom
Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Bomba dan
Penyelamat serta Jabatan Kesihatan.
Katanya, mengikut kebiasaan
terdapat tujuh hingga 12 badan yang bertindak dan bertanggungjawab
meluluskan CF sesuatu kawasan perumahan. |