KKTP dapat pinjaman pulih 5
projek rumah
18/04/1998 Berita Harian
KKTP Sdn Bhd,
syarikat milik penuh kerajaan Sabah, memperolehi kemudahan pinjaman
berjumlah RM41.5 juta daripada Arab-Malaysian Merchant Bank Berhad (AMMB),
bagi memulihkan lima projek perumahan terbengkalai di
negeri ini.
KKTP dijangka
mengambil alih serta memulihkan projek perumahan Taman Ehsan Fasa II di
Kudat membabitkan 232 unit rumah; Taman Richdar, Kota Kinabalu (230 unit);
Taman Kota, Keningau (254 unit); Taman Orchid, Tawau (71 unit) serta Taman
Hartawan, Kota Kinabalu (40 unit).
Anggaran untuk
membaik pulih semua 827 unit rumah terbengkalai itu adalah sebanyak RM53
juta, termasuk kos pembelian tanah. Jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk
kos faedah pembelian.
Usaha
pengambilalihan serta memulihkan semua projek perumahan terbengkalai yang
dilaksanakan KKTP dengan kerjasama KC Project Management Sdn Bhd itu,
dijangka siap dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun.
Majlis
menandatangani perjanjian pinjaman itu diadakan di Kota Kinabalu, kelmarin,
yang disaksikan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah,
Datuk Wences Anggang.
KKTP diwakili
pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Rashid dan timbalannya juga Setiausaha
Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Abdul Rahim
Sidek, manakala AMMB diwakili oleh pengurus kanannya, Liew Sung Soo dan
John Jayasuria.Anggang, dalam ucapannya, berkata sehingga kini,
kementeriannya dengan kerjasama KC Project Management Sdn Bhd sudah
berjaya memulihkan tujuh daripada 28 projek perumahan terbengkalai yang
dikenal pasti.
Projek
perumahan berkenaan ialah Taman Judy di Menggatal membabitkan 28 unit
rumah; Taman Tinosan, Sandakan (230 unit); Goodview Garden, Lahad Datu (30
unit); Taman Kinamas, Beaufort (51 unit); Taman Maya, Kota Kinabalu (89
unit); Taman Winning, Penampang (10 unit) serta Viewpoint Park, Inanam
(122 unit).
Manakala
sebanyak 16 projek perumahan terbengkalai sama ada dibangunkan semula oleh
pemaju, pemilik projek dan bank atau institusi kewangan yang menaja jamin,
atau dijual kepada pihak ketiga yang berminat.
Beliau berkata,
sebagai usaha memastikan projek perumahan terbengkalai sedia ada dapat
dibangunkan semula, kerajaan Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk
menubuhkan KKTP pada 31 Disember 1994 dengan modal berbayar RM8 juta.
Projek pertama
syarikat itu ialah memulihkan 91 unit rumah Fasa I Taman Ehsan yang
sebelumnya dikenali sebagai Taman Wiseland di Kudat yang terbengkalai
sejak 1986, untuk disiapkan dalam tempoh tujuh bulan dan siap sepenuhnya
pada Januari 1997.
|