MELOMBONG & PERUMAHAN SDN BHD V. WONG KOK CHIN & ANOR
HIGH COURT [KUALA LUMPUR]
RAUS SHARIF , J
RAYUAN SIVIL NO. R1-11-307 TAHUN 2003
31 DISEMBER 2004
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR
BAHAGIAN RAYUAN DAN KUASA-KUASA KHAS
RAYUAN SIVIL NO. R1-11-307 TAHUN 2003
ANTARA
MELOMBONG & PERUMAHAN SDN. BHD - PERAYU
DAN
1. WONG KOK CHIN
2. WONG PING POW - RESPONDEN
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET KUALA LUMPUR
DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN
SAMAN NO. 72-2059-2000
ANTARA
1. WONG KOK CHIN
2. WONG PING POW - PLAINTIF
DAN
MELOMBONG & PERUMAHAN SDN. BHD - DEFENDAN
PENGHAKIMAN
1. Ini adalah rayuan defendan yang tidak berpuashati dengan keputusan Majistret
yang bijaksana yang membenarkan tuntutan plaintif-plaintif dengan kos selepas
satu perbicaraan penuh.
2. Melalui satu perjanjian jual beli (perjanjian tersebut) yang telah ditandatangani
pada 31hb Julai 1995 oleh plaintif pertama dan kedua (plaintif) dengan defendan,
plaintif telah bersetuju membeli seunit kondominium yang beralamat di No.
A 304, Tingkat 3, Bangunan Amalia, Bandar baru Ampang, Selangor (kondominium
teresebut) pada harga RM172,800.00 (harga belian) daripada defendan.
3. Klausa 22(1) perjanjian tersebut menghendaki defendan menyiapkan pembinaan
kondominium tersebut dan menyerahkan milikan kosong dalam tempoh 36 bulan
dari tarikh perjanjian tersebut ditandatangani. Klausa 22(1) selanjutnya memperuntukkan
bahawa, sekiranya defendan gagal menyiapkan pembinaan kondominium tersebut
dalam tempoh yang ditetapkan, defendan dikehendaki membayar gantirugi pada
kadar 10% setahun dari harga belian mengikut kiraan harian.
4. Selanjutnya, mengikut klausa 24(1) perjanjian tersebut, defendan juga dikehendaki
menyiapkan kemudahan awam dalam masa 36 bulan dari tarikh perjanjian yang
mana, sekiranya gagal, defendan dikehendaki membayar gantirugi pada kadar
10% setahun mengikut kiraan harian atas jumlah 20% dari harga belian.
5. Adalah menjadi kes plaintif bahawa defendan bukan sahaja telah gagal menyiapkan
pembinaan kondominium tersebut malahan juga telah gagal menyiapkan kemudahan
awam dalam tempoh yang ditetapkan. Menurut plaintif, defendan telah menyerahkan
kunci kondominium tersebut kepada plaintif pada 14hb Januari 1999 tetapi hanya
menyerahkan milikan kosong beserta dengan pemasangan air dan letrik ke kondominium
tersebut pada 15hb September 1999. Begitu juga dengan kemudahan awam, yang
mana menurut plaintif, defendan hanya menyiapkannya pada 15hb September 1999.
6. Mengikut kiraan plaintif, telah berlaku kelewatan dalam menyiapkan pembinaan
dan penyerahan milikan kosong kondominium tersebut dan kemudahan awam selama
411 hari. Kiraan ini adalah berdasarkan dari tarikh perjanjian ditandatangani
iaitu pada 31hb Julai 1998 hingga 15hb September 1999. Berdasarkan perjanjian
tersebut, plaintif menuntut gantirugi-gantirugi berikut -
(i). Gantirugi kelewatan menyerahkan milikan kosong kondominium tersebut sebanyak
RM11,575.56;
(ii). Gantirugi kelewatan menyiapkan kemudahan awam sebanyak RM2,315.11.
7. Di peringkat rayuan, defendan mengulangi hujahan-hujahannya di Mahkamah
Majistret. Isu yang pertama yang dibangkitkan ialah mengenai tarikh penyerahan
milikan kosong. Untuk memutuskan perkara ini Klausa 22(1) tersebut adalah
relevan -
"22(1). Vacant possession of the said parcel to which water and electricity
supply are ready for connection shall be handed over to the purchase within
thirty-six (36) calendar months from the date of this Agreement."
Perjanjian tersebut telah mengisytiharkan "ready for connection sebagai -
"Water and electrical fittings and fixtures have been installed by the developer
and tested and commissioned authority and supply is available for tapping
into individual units."
8. Plaintif dalam keterangannya telah menyatakan bahawa kondominium tersebut
dan kemudahan awam yang disediakan hanya sedia untuk disambung dengan bekalan
air dan letrik pada 15hb September 1995. Majistret yang bijaksana telah menerima
keterangan tersebut. Saya tidak ada sebab untuk merobah dapatan fakta tersebut.
Ini adalah kerana keterangan lisan plaintif telah gagal disangkal oleh defendan
bilamana defendan gagal mengemukakan saksi untuk membuktikan bekalan elektrik
dan air telah sedia pada tarikh yang lebih awal seperti yang didakwa oleh
defendan.
9. Selanjutnya defendan dalam mempersoalkan tuntutan plaintif telah membangkitkan
-
(a). plaintif telah gagal memberi notis kepadanya pada masa yang material;
(b). plaintif telah gagal membuktikan kerugian yang dialami.
10. Majistret yang bijaksana telah memutuskan bahawa plaintif adalah tidak
perlu untuk memberi notis seperti yang diperuntukkan di bawah s. 56(3) akta
Kontrak dan plaintif juga tidak perlu untuk membuktikan kerugian yang dialami.
Pada pendapat saya Majistret yang bijaksana telah membuat taakulan dan dapatan
yang betul dari segi fakta dan undang-undang dalam kedua-dua isu ini. (Sila
lihat Hariram a/l Jayaram v. Sentul Raya Sdn. Bhd. [2003] 1 MLJ 22 dan Sakinas
Sdn. Bhd. v. Siew Yik Haw & Anor. [2002] 2 AMR 1953.
11. Defendan seterusnya mempertikaikan hak plaintif untuk membawa tindakan
in kerasa segala haknya telahpun diserahhak secara mutlak kepada Citibank
Berhad melalui suratikatan penyerahnhak yang ditandatangani pada 1hb September
1995. Menurut defendan plaintif sepatutnya dalam tindakan ini, menggabungkan
Citibank Berhad sebagai salah satu pihak yang berkepentingan dalam tindakan
ini.
12. Berkenaan dengan isu ini, Majistret yang bijaksana memutuskan bahawa penyerahanhak
plaintif kepada Citibank bukan satu penyerahan hak yang mutlak dan plaintif
berhak membawa tuntutan ini secara persendirian. Majistret telah berpegang
kepada nas kes Sakinas. Saya bersetuju dengan keputusan Majistret yang bijaksana
itu.
13. Secara keseluruhannya saya dapati, Majistret yang bijaksana telah membuat
taakulan yang betul ke atas kesemua isu-isu yang diutarakan oleh defendan.
Rayuan defendan dengan ini ditolak dengan kos.
Bertarikh:. 31hb Disember 2004.
RAUS SHARIF - Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur.
PEGUAM
Bagi pihak perayu/defendan - Encik C. Y. Chung; Tetuan Yeap & Yong, Peguambela
dan Peguamcara.
Bagi pihak responden-responden/plaintif-plaintif - Puan Hafizatul Hasnah,
Tetuan Sng & Co.
|