|
MELOMBONG & PERUMAHAN SDN BHD V. WONG KOK CHIN & ANOR
HIGH COURT [KUALA LUMPUR]
RAUS SHARIF , J
RAYUAN SIVIL NO. R1-11-307 TAHUN 2003
31 DISEMBER 2004
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR
BAHAGIAN RAYUAN DAN KUASA-KUASA KHAS
RAYUAN SIVIL NO. R1-11-307 TAHUN 2003
ANTARA
MELOMBONG & PERUMAHAN SDN. BHD - PERAYU
DAN
1. WONG KOK CHIN
2. WONG PING POW - RESPONDEN
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET KUALA LUMPUR
DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN
SAMAN NO. 72-2059-2000
ANTARA
1. WONG KOK CHIN
2. WONG PING POW - PLAINTIF
DAN
MELOMBONG & PERUMAHAN SDN. BHD - DEFENDAN
PENGHAKIMAN
1. Ini adalah rayuan defendan yang tidak berpuashati dengan keputusan
Majistret yang bijaksana yang membenarkan tuntutan plaintif-plaintif dengan
kos selepas satu perbicaraan penuh.
2. Melalui satu perjanjian jual beli (perjanjian tersebut) yang telah
ditandatangani pada 31hb Julai 1995 oleh plaintif pertama dan kedua (plaintif)
dengan defendan, plaintif telah bersetuju membeli seunit kondominium yang
beralamat di No. A 304, Tingkat 3, Bangunan Amalia, Bandar baru Ampang,
Selangor (kondominium teresebut) pada harga RM172,800.00 (harga belian)
daripada defendan.
3. Klausa 22(1) perjanjian tersebut menghendaki defendan menyiapkan
pembinaan kondominium tersebut dan menyerahkan milikan kosong dalam tempoh
36 bulan dari tarikh perjanjian tersebut ditandatangani. Klausa 22(1)
selanjutnya memperuntukkan bahawa, sekiranya defendan gagal menyiapkan
pembinaan kondominium tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, defendan
dikehendaki membayar gantirugi pada kadar 10% setahun dari harga belian
mengikut kiraan harian.
4. Selanjutnya, mengikut klausa 24(1) perjanjian tersebut, defendan juga
dikehendaki menyiapkan kemudahan awam dalam masa 36 bulan dari tarikh
perjanjian yang mana, sekiranya gagal, defendan dikehendaki membayar
gantirugi pada kadar 10% setahun mengikut kiraan harian atas jumlah 20% dari
harga belian.
5. Adalah menjadi kes plaintif bahawa defendan bukan sahaja telah gagal
menyiapkan pembinaan kondominium tersebut malahan juga telah gagal
menyiapkan kemudahan awam dalam tempoh yang ditetapkan. Menurut plaintif,
defendan telah menyerahkan kunci kondominium tersebut kepada plaintif pada
14hb Januari 1999 tetapi hanya menyerahkan milikan kosong beserta dengan
pemasangan air dan letrik ke kondominium tersebut pada 15hb September 1999.
Begitu juga dengan kemudahan awam, yang mana menurut plaintif, defendan
hanya menyiapkannya pada 15hb September 1999.
6. Mengikut kiraan plaintif, telah berlaku kelewatan dalam menyiapkan
pembinaan dan penyerahan milikan kosong kondominium tersebut dan kemudahan
awam selama 411 hari. Kiraan ini adalah berdasarkan dari tarikh perjanjian
ditandatangani iaitu pada 31hb Julai 1998 hingga 15hb September 1999.
Berdasarkan perjanjian tersebut, plaintif menuntut gantirugi-gantirugi
berikut -
(i). Gantirugi kelewatan menyerahkan milikan kosong kondominium tersebut
sebanyak RM11,575.56;
(ii). Gantirugi kelewatan menyiapkan kemudahan awam sebanyak RM2,315.11.
7. Di peringkat rayuan, defendan mengulangi hujahan-hujahannya di Mahkamah
Majistret. Isu yang pertama yang dibangkitkan ialah mengenai tarikh
penyerahan milikan kosong. Untuk memutuskan perkara ini Klausa 22(1)
tersebut adalah relevan -
"22(1). Vacant possession of the said parcel to which water and electricity
supply are ready for connection shall be handed over to the purchase within
thirty-six (36) calendar months from the date of this Agreement."
Perjanjian tersebut telah mengisytiharkan "ready for connection sebagai -
"Water and electrical fittings and fixtures have been installed by the
developer and tested and commissioned authority and supply is available for
tapping into individual units."
8. Plaintif dalam keterangannya telah menyatakan bahawa kondominium tersebut
dan kemudahan awam yang disediakan hanya sedia untuk disambung dengan
bekalan air dan letrik pada 15hb September 1995. Majistret yang bijaksana
telah menerima keterangan tersebut. Saya tidak ada sebab untuk merobah
dapatan fakta tersebut. Ini adalah kerana keterangan lisan plaintif telah
gagal disangkal oleh defendan bilamana defendan gagal mengemukakan saksi
untuk membuktikan bekalan elektrik dan air telah sedia pada tarikh yang
lebih awal seperti yang didakwa oleh defendan.
9. Selanjutnya defendan dalam mempersoalkan tuntutan plaintif telah
membangkitkan -
(a). plaintif telah gagal memberi notis kepadanya pada masa yang material;
(b). plaintif telah gagal membuktikan kerugian yang dialami.
10. Majistret yang bijaksana telah memutuskan bahawa plaintif adalah tidak
perlu untuk memberi notis seperti yang diperuntukkan di bawah s. 56(3) akta
Kontrak dan plaintif juga tidak perlu untuk membuktikan kerugian yang
dialami. Pada pendapat saya Majistret yang bijaksana telah membuat taakulan
dan dapatan yang betul dari segi fakta dan undang-undang dalam kedua-dua isu
ini. (Sila lihat Hariram a/l Jayaram v. Sentul Raya Sdn. Bhd. [2003] 1 MLJ
22 dan Sakinas Sdn. Bhd. v. Siew Yik Haw & Anor. [2002] 2 AMR 1953.
11. Defendan seterusnya mempertikaikan hak plaintif untuk membawa tindakan
in kerasa segala haknya telahpun diserahhak secara mutlak kepada Citibank
Berhad melalui suratikatan penyerahnhak yang ditandatangani pada 1hb
September 1995. Menurut defendan plaintif sepatutnya dalam tindakan ini,
menggabungkan Citibank Berhad sebagai salah satu pihak yang berkepentingan
dalam tindakan ini.
12. Berkenaan dengan isu ini, Majistret yang bijaksana memutuskan bahawa
penyerahanhak plaintif kepada Citibank bukan satu penyerahan hak yang mutlak
dan plaintif berhak membawa tuntutan ini secara persendirian. Majistret
telah berpegang kepada nas kes Sakinas. Saya bersetuju dengan keputusan
Majistret yang bijaksana itu.
13. Secara keseluruhannya saya dapati, Majistret yang bijaksana telah
membuat taakulan yang betul ke atas kesemua isu-isu yang diutarakan oleh
defendan. Rayuan defendan dengan ini ditolak dengan kos.
Bertarikh:. 31hb Disember 2004.
RAUS SHARIF - Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur.
PEGUAM
Bagi pihak perayu/defendan - Encik C. Y. Chung; Tetuan Yeap & Yong,
Peguambela dan Peguamcara.
Bagi pihak responden-responden/plaintif-plaintif - Puan Hafizatul Hasnah,
Tetuan Sng & Co.
|