This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

TIGA MAHKAMAH TIGA KEPUTUSAN

22/02/2006 HARIAN METRO

MESKIPUN keseluruhannya 73 orang yang mengemukakan saman, namun hanya Pengerusi Jawatankuasa Penghuni dan Pemilik Kondominium Highland Towers, Dr Benjamin George dan seorang penghuni lain hadir di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 17 Februari lalu apabila mahkamah tertinggi di tanah air itu memberikan keputusannya - penghakiman terakhir dalam perjuangan perundangan selama hampir 12 tahun mangsa terbabit mencari keadilan.

Dan apabila keputusan tiga panel hakim - Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan dua hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Hamid Mohamed serta Datuk Arifin Zakaria - selesai dibacakan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Kamarudin Kamsun, jelas wajah Dr Benjamin menggambarkan kekecewaan.

“Saya datang dengan penuh harapan mahkamah akan memberikan keputusan yang memihak kepada penghuni. Bagaimanapun, saya akan menerima keputusan ini walaupun saya tidak gembira,” katanya.

Meskipun sudah 12 tahun berlalu sejak blok satu kondominium mewah itu runtuh pada kira-kira jam 1.30 tengah hari Sabtu, 11 Disember 1993 dan masa sudah sedikit sebanyak menyembuh derita, namun bagi Dr Benjamin dan mangsa lain penghakiman berkenaan hanya membuatkan luka lama kembali berdarah.

Mereka kecewa apabila perjuangan untuk mempertanggungjawabkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terhadap tragedi itu yang meragut nyawa 48 orang menemui jalan buntu apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku sebelum dan selepas kejadian itu.

Persoalan serta intipati perundangan yang ditafsir dan diadili Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman itu ialah menentukan sama ada MPAJ bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku sebelum dan selepas blok satu itu menyembah bumi dan sekali gus memaksa 73 plaintif yang merupakan penghuni blok dua dan tiga berpindah menyelamatkan diri.

Hasilnya, ketiga-tiga hakim berkenaan sebulat suara memutuskan MPAJ tidak bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dalam jangka waktu sebelum tragedi itu berlaku.

Alasannya? Menurut mereka, PBT seperti MPAJ mendapat perlindungan penuh atau dengan maksud lain kebal mengikut Seksyen 95 (2) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) daripada sebarang tuntutan ganti rugi.

Abdul Hamid berkata, jika PBT dipertanggungjawabkan, ia akan membuka ruang untuk lebih banyak tuntutan terhadap kerugian ekonomi dan keadaan itu akan menyusutkan sumber kewangan PBT yang sepatutnya digunakan untuk menyediakan perkhidmatan asas dan prasarana kepada umum.

“Jika ini berlaku projek (PBT) akan terhenti. Pihak berkuasa tempatan mungkin bankrap. Kalaupun ia tidak muflis, adakah adil dan munasabah untuk menggunakan wang pembayar cukai bagi membayar ‘hutang’ (tuntutan ganti rugi) seperti itu. Pada pandangan saya, jawapannya ialah tidak,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hamid dan Arifin berbeza pendapat dengan Shim berkaitan persoalan kedua iaitu sama ada MPAJ bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku selepas tragedi itu termasuk kemusnahan terhadap harta benda di kediaman berkenaan yang dikosongkan akibat dicuri dan vandalisme.

Abdul Hamid yang sependapat dengan Arifin berkata: “Vandalisme terjadi setiap kali berlaku bencana tidak kira semula jadi atau sebaliknya di negara tidak membangun, membangun dan maju.

“Malah kejadian terbaru menunjukkan negara paling maju yang memiliki tentera paling berkuasa dan anggota polis berkelengkapan terbaik turut gagal untuk menghalangnya.”

Sehubungan itu, beliau berkata: “Pada pandangan saya, keperluan untuk menyediakan kemudahan asas kepada rakyat kebanyakan lebih mustahak berbanding membayar pampasan kehilangan hasil ekonomi kepada beberapa individu yang jelas berkemampuan berbanding majoriti penduduk di kawasan majlis perbandaran.”

Shim yang memutuskan MPAJ bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku selepas blok satu runtuh, berkata PBT itu cuai kerana gagal merangka dan melaksanakan pelan perparitan utama yang sudah dijanjikan bagi memastikan kestabilan blok satu dan dua.

“Saya berpendapat MPAJ tidak boleh mencari perlindungan mengikut Seksyen 95 (2) Akta 133 kerana ini adalah kes kecuaian kerana gagal untuk merangka dan melaksanakan kerja atau rancangan tertentu.

“Terdapat andaian MPAJ bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang ia sudah berjanji untuk buat. Penduduk mendakwa kegagalan untuk melakukannya menyebabkan MPAJ terdedah kepada liabiliti kerana kecuaian,” katanya.

Shim berkata beliau tidak fikir adalah baik untuk umum jika PBT seperti MPAJ dibenarkan menolak liabiliti kerana kecuaian yang dilakukan melampaui perlindungan dalam Seksyen 95 (2) atau peruntukan lain yang berkaitan dalam akta itu.

“Adalah tidak adil, tidak saksama dan tidak munasabah juga untuk menafikan penduduk terhadap hak mereka untuk menuntut (ganti rugi) menurut undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, dua mahkamah lain - Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan kes itu dan Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan - memberikan keputusan berbeza berhubung isu yang sama.


Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James Foong dalam penghakimannya pada 11 Ogos 2000 memutuskan MPAJ bertanggungjawab terhadap kerugian yang berlaku selepas blok satu runtuh sementara PBT itu dilindungi mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 daripada dipertanggungjawabkan ke atas kerosakan yang berlaku sebelum tragedi itu terjadi.

Foong juga memutuskan tujuh daripada 10 pihak yang disaman cuai sehingga menyebabkan blok satu itu runtuh.

Justeru, beliau memerintahkan mereka membayar ganti rugi mengikut pecahan Highland Properties Sdn Bhd (15 peratus); pelukis pelan, Wong Tin Sang (10 peratus); jurutera, Wong Yuen Kean (10 peratus); MPAJ (15 peratus), Arab Malaysian Finance Bhd (30 peratus), Metrolux Sdn Bhd dan MBf Property Services (20 peratus).

(Pada 2004, AmFinance Bhd (yang sebelumnya dikenali sebagai Arab Malaysian Finance Bhd) membuat keputusan untuk mencapai penyelesaian luar mahkmah dengan membayar ganti rugi berjumlah RM52 juta.)

Bagaimanapun, apabila keputusan itu dirayu ke Mahkamah Rayuan, tiga panel hakimnya, Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Richard Malanjum dan Datuk Ghazali Mohd Yusoff sebulat suara dalam penghakiman mereka pada 3 Disember 2002, membuat keputusan sebaliknya - MPAJ bertanggungjawab terhadap kerugian yang berlaku sebelum blok satu runtuh dan ia tidak bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku selepas kejadian itu.

Ringkasnya, ketiga-tiga mahkamah memberikan tiga keputusan berbeza dengan penghakiman terakhir Mahkamah Persekutuan itu membawa makna MPAJ tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa yang berlaku sebelum dan selepas blok satu itu runtuh seraya membebaskan PBT itu daripada membayar ganti rugi kepada 73 penghuni terbabit yang menyaman 10 pihak berkenaan antara RM31 juta dan RM35.

Mahkamah tertinggi negara itu berkata: “MPAJ mempunyai perlindungan undang-undang daripada tindakan saman yang diambil berhubung kejadian yang berlaku sehingga menyebabkan blok satu runtuh.”

Tafsiran Dr Benjamin terhadap penghakiman berkenaan lebih besar skopnya.

Beliau berkata: “Saya sedih dan kecewa bukan saja buat semua mangsa tragedi Highland Towers tetapi juga kepada semua mereka yang mungkin pada masa depan berdepan dengan situasi yang sama di tangan pihak berkuasa tempatan.”

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.