'Bukan tanggungjawab
MPAJ'
18/02/2006 BERITA HARIAN
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan Majlis Perbandaran Ampang
Jaya (MPAJ) tidak bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung 73
penghuni blok dua dan tiga pangsapuri Highland Towers yang terpaksa
mengosongkannya selepas blok satu runtuh 13 tahun lalu mengorbankan 48 nyawa.
Mahkamah memutuskan tidak adil meletakkan tanggungan kehilangan ekonomi
terhadap MPAJ kerana gagal melaksanakan pelan perparitan seperti yang
dijanjikan atau menstabilkan puncak bukit itu.
Mahkamah sebulat suara memutuskan MPAJ atau mana-mana kerajaan tempatan
mempunyai kekebalan dan dilindungi Seksyen 95 (2) Akta Jalan, Parit dan
Bangunan 1974 daripada sebarang tuntutan sebelum runtuhan.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong yang bersidang
bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Datuk
Arifin Zakaria, juga memutuskan MPAJ tidak bertanggungjawab terhadap
kerugian sebelum dan selepas kondominium itu runtuh.
Abdul Hamid dalam keputusannya berkata:
“Kerajaan tempatan ditugaskan menjalankan beberapa tanggungjawab termasuk
menyedia dan menyelenggara tempat rekreasi, memungut sampah, menyediakan
kenderaan awam, menyedia rumah untuk setinggan dan banyak lagi serta harapan
orang ramai adalah tinggi.
“Ini adalah tanggungjawab sosial kepada pembayar cukai di kawasan mereka dan
sumber kewangannya hanya melalui cukai taksiran dan bayaran lesen.
“Dengan sumber dan tenaga kerja yang terhad, walaupun cuba sebaik mungkin
untuk memberikan yang terbaik dalam menyediakan infrastruktur dan
perkhidmatan, ia tidak akan memuaskan hati semua orang.
“Oleh itu, pada pendapat saya peruntukan terhadap keperluan asas orang ramai
lebih penting berbanding kerugian ekonomi beberapa individu yang
terang-terang lebih kaya berbanding penduduk di kawasan pihak berkuasa
tempatan itu.
"Pembayaran kerugian ekonomi itu, adalah satu penindasan terhadap sumber
terhad yang diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur, perkhidmatan asas
dan projek tidak akan berjalan dan serta banyak tuntutan kerugian ekonomi
akan dibuat.”
Penghakiman tiga hakim itu dibaca berasingan oleh Timbalan Pendaftar
Mahkamah Persekutuan, Kamarudin Kamsun, semalam.
Berikutan itu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan rayuan MPAJ
untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan MPAJ
bertanggungjawab terhadap kerugian sebelum runtuhnya kondominium itu.
Panel tiga hakim itu juga dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan balas
bekas penghuni blok dua dan tiga kondominium itu yang merayu terhadap
keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan MPAJ tidak bertanggungjawab
terhadap kerugian selepas runtuhan itu.
Pada 3 Disember 2003, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Arab Malaysian Finance
Bhd (AmFinance) dan tiga defendan lain yang didapati cuai berhubung tragedi
Highland Towers dan mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James
Foong yang memutuskan AmFinance, Wong Yuen Keen (berniaga sebagai Waja
Perunding), Metrolux Sdn Bhd dan MBF Property Sdn Bhd cuai dan gagal
melaksanakan kewajipan berjaga-jaga masing-masing.
Mahkamah itu mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menamakan MPAJ
bertanggungjawab terhadap kerugian selepas bangunan itu runtuh, seperti
kecurian dan kerosakan barang peribadi serta vandalisme.
Bagaimanapun, mereka mengetepikan keputusan bahawa MPAJ dilindungi mengikut
Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang menyebabkannya tidak boleh
dipertanggungjawabkan ke atas kerosakan sebelum kejadian runtuh.
Foong dalam keputusannya pada 11 Disember 2000 memerintahkan defendan
pertama, pemaju Highland Properties Sdn Bhd membayar 15 peratus daripada
jumlah ganti rugi, manakala defendan kedua, Wong Tin Sang (menjalankan
perniagaan sebagai Konsortium Jurubina Perunding) 10 peratus.
Beliau turut memerintahkan Wong Yuen Kean membayar 10 peratus daripada
jumlah itu; MPAJ 15 peratus; AmFinance 30 peratus; Metrolux Sdn Bhd dan MBF
Property Sdn Bhd 20 peratus.
Serama 73 penghuni Blok 2 dan 3, mengemukakan saman terhadap 10 pihak
berjumlah antara RM31 juta dan RM35 juta untuk membaiki kedua-dua blok
kondominium yang dikosongkan selepas blok 1 runtuh pada 11 Disember 1993.
Sementara itu, Presiden Pemilik dan Penduduk Highland Towers, Dr Benjamin
George yang ditemui di luar mahkamah berkata beliau sedih dan terkejut
dengan keputusan itu.
"Ini adalah penghujung jalan bagi kami tetapi kami akur dengan keputusan
mahkamah dan terpaksa menerimanya," katanya. |