This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Belajar dari satu tragedi
12/12/2004 Utusan Malaysia

LANGIT mendung tengah hari semalam memayungi majlis perhimpunan tahunan bekas penduduk dan waris mangsa tragedi kondominium runtuh di tapak Highland Towers di pinggir Kuala Lumpur.
Di kaki dua blok bangunan yang masih tegak berdiri itu orang bertafakur mengenang peristiwa 11 tahun lalu terutamanya 48 ahli keluarga dan kenalan yang terkorban.

Selebihnya, mereka mengenang semula sebuah kehidupan yang sudah tidak dapat diulang semula.

Tetapi tahun depan tidak ada lagi majlis seperti itu. Perhimpunan semalam adalah majlis rasmi yang terakhir. Dua bangunan yang masih tegak berdiri itu pun khabarnya akan dirobohkan selepas ini.

Sungguhpun kita tidak akan dapat lagi melihat dengan mata kepala sendiri tinggalan tragedi yang cukup menyayat hati itu, nama Highland Towers hampir pasti akan muncul dan disebut-sebut lagi selepas ini.

Tragedi 11 tahun lalu yang diharap menjadi pengajaran itu secara jujurnya hanya memberikan sedikit kesan. Tragedi itu tidak begitu mencetuskan perubahan besar dalam cara kita menanggapi aspek pembangunan di kawasan berbukit dan tanah tinggi.

Tidak dapat dinafikan selepas tragedi 1993 itu kerajaan mula mengeluarkan beberapa garis panduan pembangunan serta menubuhkan pasukan penyelamat. Tetapi hakikatnya masih ada aspek lain yang cukup penting yang kurang begitu diperhatikan.

"Kita masih belum meningkatkan pengetahuan mengenai aspek teknikal untuk memahami kawasan yang berisiko tinggi," kata pakar geologi, Prof. Dr. Ibrahim Komoo.

Runtuhan tanah yang berlaku sehingga menumbangkan sebuah blok bangunan kediaman 12 tingkat pada tengah hari Sabtu 11 tahun lalu itu sebenarnya bukanlah yang pertarna di kawasan itu.

Dr. Ibrahim yang banyak mengkaji kejadian tanah runtuh di kawasan Hulu Klang terutamanya di sekitar Bukit Antarabangsa mendapati bahawa gelinciran tanah sudah berlaku lebih kurang 10 tahun sebelum tragedi Highland Towers itu.

Tetapi kerana kejadian-kejadian itu tidak melibatkan kematian dan kerosakan harta benda ia tidak menimbulkan apa-apa kebimbangan, sehinggalah berlaku kejadian Highland Towers.

Selepas itu baru orang membuka mata tetapi hanya sekejap saja.

Selepas tragedi Highland Towers pada tahun 1993 ada tiga lagi kejadian gelinciran di kawasan yang sama melibatkan jajaran cerun yang serupa - dua gelinciran di jalan naik ke Bukit Antarabangsa dan dekat kondominium Athenaeum Tower pada tahun 1999 dan satu lagi gelinciran yang memusnahkan sebuah banglo dua tingkat di Taman Hillview pada tahun 2002.

"Apa yang mengecewakan ialah kejadian tahun 2002 itu menunjukkan seolah-olah kita tidak belajar sesuatu daripada kejadian sebelumnya," kata Dr. Ibrahim yang menyifatkan gelinciran tanah di Taman Hillview itu bencana yang boleh dielakkan.

Empat kejadian gelinciran di jajaran cerun yang sarna itu hanya menunjukkan kepada kita satu bukti bahawa kita tidak mempunyai catatan rekod yang baik mengenai kejadian-kejadian seperti ini.

Dr. Ibrahim yang juga Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, salah satu masalah utama dalam menangani bencana seperti ini ialah betapa kita hanya membuat kajian dan penyelidikan di tempat kejadian.

Hasilnya kita boleh memahami luar dan dalam masalah di tempat berkenaan tetapi gagal meramalkan kesan yang sama di kawasan berhampiran. Ini belum lagi mengambil kira keadaan di seluruh negara. Masalahnya juga serupa - kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk memahami risiko bencana yang boleh terjadi.

"Tindakan kita masih bersifat adhoc," katanya.

Cepat terlupa

Dr. Ibrahim sudah beberapa kali menyarankan supaya ditubuhkan sebuah agensi bencana yang diberikan tanggungjawab menyediakan dasar pembangunan di kawasan berisiko tinggi.

Masalahnya sekarang ini ialah bidang kuasa berkenaan terletak pada beberapa agensi kerajaan dengan batas-batas kuasa yang menyukarkan satu tindakan bersepadu. Kalau itu masalahnya, sebuah agensi pusat adalah jawapannya.

"Agensi itu boleh membuat inventori kawasan berbahaya dan menyiapkan peta risiko bencana," jelas Dr. Ibrahim.

Pada masa yang sama, kesedaran di kalangan masyarakat tentang bahaya dan risiko yang dihadapi oleh mereka di sekitar kawasan tanah tinggi harus juga dipertingkat. Kesedaran itu barangkali sudah ada tetapi masalahnya ialah tidak banyak orang memahaminya dengan mendalam sehingga merasakan ia tidak mungkin menimpa mereka.

Dr. Ibrahim melihat satu-satunya cara untuk meningkatkan kesedaran umum ialah dengan membenarkan pakar-pakar di agensi kerajaan yang terlibat memberikan penerangan kepada media setiap kali berlaku kejadian seumpama itu, dan bukannya menteri.

"Kita bukannya tidak ada pakar-pakar yang berkaliber. Kita ada tetapi masyarakat tidak dapat mendengar penerangan daripada mereka," tegasnya.

Melihat isu ini dari sudut pengguna, kita barangkali tertanya-tanya kenapa agaknya orang masih mahu memperjudikan nasib dan nyawa membeli dan membina kediaman di kawasan cerun sedangkan bahayanya sudah nyata?

"Ini memang perangai kita. Kita cepat terlupa apa yang berlaku di depan mata," kata Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), N. Marimuthu.
Tetapi sebaliknya masyarakat barangkali percaya bahawa sekiranya sesuatu projek itu berisiko tinggi mustahil ia mendapat kelulusan kerajaan. Projek yang diluluskan itu tentulah selamat sedangkan hakikatnya bangunan yang akan dibina itu belum tentu selamat.

lni satu masalah yang lain pula. Kita tidak mempunyai sistem bina dulu baru jual. Kita sebenarnya membeli kediaman yang belum dibina dan masalah hanya kita sedari selepas bangunan itu kita miliki.

"Kita boleh meletakkan syarat kepada pemaju untuk memberikan penjelasan kepada bakal pembeli tentang langkah-langkah keselamatan yang diambil," kata Dr. Ibrahim.

Dalam pada itu, Marimuthu melihat tentang pentingnya suara pengguna dalam hal ini. Masyarakat harus mempunyai suara dalam menentukan kelulusan kepada sesuatu projek pembangunan baru di sekitar kawasan mereka. Masa untuk mereka dipinggirkan dan hanya berdiam diri melihat satu demi satu projek muncul sehingga memberikan kesan kepada alam sekitar sudah berlalu.

"Pembangunan di kawasan berhampiran harus terkawal dan suara masyarakat di sekitarnya harus didengar," kata Marimuthu.

Namun di negeri yang baru belajar mengenal makna akauntabiliti dan ketelusan ini, impian itu barangkali sesuatu yang terlalu besar untuk diharapkan. Kita tidak tahu beringat sebelum kena sebaliknya selepas terhantuk baru hendak tengadah.

Realiti ini memang menyakitkan. Hakikatnya kita memang selalu menunggu tragedi dan korban untuk diperingatkan. Selepas itu kita akan mendengar banyak pernyataan komitmen, ikrar dan saranan yang terus diulang-ulang seperti memainkan piring hitam lama setiap kali berlaku tragedi yang hampir serupa

Perhimpunan di tapak tragedi High­land Towers semalam adalah ruang untuk kita melihat semula dengan jujur sikap dan cara kita bertindak dalam isu pembangunan di lereng bukit.

Ia majlis yang terakhir. Selepas ini kita terlepas peluang itu sehinggalah datang satu lagi bencana yang mungkin memakan korban harta benda dan nyawa.

Runtuhnya satu blok Highland Towers 11 tahun lalu adalah, satu tragedi tetapi tidak cuba memahami peristiwa itu dan berusaha mengelaknya daripada berulang adalah satu tragedi yang lebih besar.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.